Tuesday 26 February 2013

AMALAN KESELAMATAN DI BENGKEL


AMALAN KESELAMATAN BENGKEL DI KALANGAN PELAJAR SEMASA MENJALANKAN KERJA AMALI DI BENGKEL KAYU

JABATAN KEJURUTERAAN AWAM POLITEKNIK KOTA BHARU

 

 

Fadhlan Bin Abdul Hadi & Rizalman Bin Ab Rahim

Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam

Politeknik Kota Bharu

 

 

ABSTRAK

 

Tujuan utama kajian ini adalah untuk mengenalpasti tahap kepatuhan peraturan keselamatan bengkel kayu dalam kalangan pelajar semasa menjalankan kerja-kerja amali. Kajian ini cuba meneroka dimensi iaitu mengetahui sejauh mana amalan keselamatan yang dipatuhi oleh pelajar ketika berada di dalam bengkel. Kajian yang berbentuk deskriptif telah dilaksanakan pada sesi pengajian Julai 2010 melibat semua pelajar yang menggunakan bengkel kayu iaitu pelajar Kejuruteraan Awam di Politeknik Kota Bharu. Sampel kajian ini adalah terdiri daripada 150 orang pelajar semester satu dan dua pelajar Kejuruteraan Awam. Soal selidik telah diedarkan dan data telah dianalisis dengan menggunakan program SPSS serta secara manual. Setiap dimensi telah diukur dengan kaedah peratusan bagi menentukan tahap kepatuhan pelajar terhadap peraturan keselamatan di bengkel. Secara keseluruhannya tahap kepatuhan pelajar adalah tinggi. Bagaimanapun masih terdapat sebilangan pelajar yang berpendapat belum patuh kepada peraturan keselamatan. Dalam memperbaiki aspek kepatuhan, beberapa cadangan telah dikemukakan oleh penyelidik sebagai panduan pihak yang berkenaan bagi mengatasi masalah tersebut. Hasil dapatan ini adalah diharapkan dapat menjadi rujukan bagi semua pihak.

 

ABSTRACT

 

The main purpose of this study was to determine the extent of compliance with regulations wood workshop safety of students in the course of practical work. This study tried to explore the dimensions of knowing the extent of safety practices observed by students while in the workshop. The descriptive study was conducted at the study session in July 2010 involving all the students who use the wood workshop Civil engineering student at the Polytechnic Kota Bharu. This study sample consisted of 150 students from semester one and two engineering students Civil. The questionnaires were distributed and the data were analyzed using SPSS program and also manually. Every dimension was calculated by percentage method in order to determine the obedience level to the safety rule in the workshop. As an overall the level of the student obedience was very high. However there were still some students who admitted that they were not yet fully obeyed the safety rule. In improving the obedience aspects, some suggestions were provided as guidance to the related parties to overcome the problems. Hopefully the results will be useful as a reference for all related parties.

 

PENDAHULUAN

Peraturan keselamatan bengkel adalah merupakan satu faktor penting yang perlu diamalkan oleh setiap pelajar dalam kerja amali di bengkel. Setiap aktiviti yang dijalankan melibatkan penggunaan peralatan dan mesin yang berbahaya. Sebarang kecuaian boleh mengakibatkan kemalangan atau kecederaan yang serius. Peraturan – peraturan keselamatan bengkel perlu diamalkan bagi mengelakkan kemalangan yang tidak diingini berlaku. Keselamatan bermaksud satu keadaan yang terhasil daripada perubahan tingkah laku manusia atau persekitaran fizikal untuk mengurangkan kemungkinan bahaya yang selanjutnya dan mengurangkan kemalangan (Kamus Dewan,1996). Keselamatan bengkel adalah aspek yang perlu menjadi fokus utama di dalam melakukan kerja-kerja amali ketika berada di dalam bengkel ianya hendaklah dititik beratkan bukan sahaja ketika melakukan kerja-kerja amali malahan pada bila-bila masa sahaja semasa  pelajar berada di dalam bengkel. Keselamatan di dalam bengkel adalah amat penting bagi mengelakkan sesi pengajaran dan pembelajaran terganggu dan mengurangkan keberkesanannya dan ini menuntut kerjasama dari pihak pensyarah dan juga pelajar. Kesedaran tentang amalan keselamatan di bengkel perlu ditekankan kepada pelajar,  kerana pepatah Melayu ada menyebut ‘malang tidak berbau’ ini memang benar kerana tiada siapa menduga apa yang akan berlaku di masa hadapan. Maka pelajar-pelajar perlu berusaha sedaya upaya untuk mengelakkan sebarang kemalangan di dalam bengkel. Kebiasaannya, pensyarah akan memberikan penerangan terhadap amalan keselamatan kerja amali dan langkah kerjanya sebelum sesuatu amali dijalankan. Keselamatan perlu diutamakan oleh pensyarah kerana sebarang kemalangan yang berlaku di dalam kawasan bengkel adalah di bawah tanggungjawab pensyarah tersebut. Bukan itu sahaja, keselamatan bengkel dan alatan juga perlu dititikberatkan agar tidak dipersalahkan di kemudian hari. Semasa melakukan aktiviti atau bekerja di bengkel, aspek keselamatan yang perlu diawasi adalah keselamatan diri, mesin, peralatan dan rakan sekerja. Peraturan keselamatan dan undang- undang keselamatan bengkel wajib diketahui, dipelajari, dan dipatuhi kerana menjaga keselamatan menjadi tanggungjawab setiap pelajar. Dengan mematuhi peraturan keselamatan di dalam bengkel, sebarang risiko yang melibatkan kemalangan jiwa atau pancaindera mahupun kerosakan terhadap alat dan mesin akan dapat dihindari. Mohamad Khan Jamal (2003) daripada kajiannya menyatakan bahawa hampir 91% kemalangan berlaku disebabkan oleh kecuaian pekerja, manakala 32% adalah disebabkan oleh mesin, 30% disebabkan oleh keadaan kerja itu sendiri dan keadaan persekitaran. Antara kecederaan yang paling kerap berlaku adalah luka – luka kecil, tersepit jari tangan, tercabut kuku jari tangan, putus jari tangan, dihempap benda jatuh dan patah tangan. Beliau juga telah menyatakan, jika dibandingkan dengan faktor lain seperti persekitaran kerja, keadaan kerja itu sendiri dan keadaan peralatan dan mesin, faktor kecuaian pekerja merupakan punca utama berlakunya kemalangan. Maka perhatian serius perlu diberikan supaya kemalangan dan kecederaan dapat dielakkan ketika pelajar sedang mengendalikan mesin dan penggunaan peralatan tangan. Menurut Khairul Azhar (2008), Keselamatan di dalam bengkel akan lebih rumit jika bilangan pelajar terlalu ramai menggunakan ruang atau kemudahan peralatan yang sedia ada dalam satu masa. Ruang yang sempit serta pelajar yang ramai akan memburukkan lagi suasana melakukan aktiviti di bengkel. Disebabkan ruang yang terhad dan sempit perkara seperti gangguan emosi, keadaan yang panas dan suasana yang tidak teratur boleh berlaku. Kemalangan dapat dielakkan atau dikurangkan jika pelajar sentiasa mematuhi langkah-langkah keselamatan. Kesedaran mengutamakan keselamatan bukan hanya pada diri sendiri sahaja tetapi juga terhadap rakan-rakan yang sama-sama bekerja, terhadap persekitaran dan keselamatan harta benda. Selain daripada itu, pelajar-pelajar perlu mempunyai pengetahuan yang cukup mengenai peraturan dan langkah keselamatan semasa menjalankan kerja-kerja amali di bengkel Kayu. Menurut Crow dan Crow (1980), guru sepatutnya boleh mengarah, membimbing dan menggerakkan pelajar untuk membina sikap yang diingini. Semasa melakukan aktiviti atau bekerja di bengkel, aspek keselamatan yang perlu diawasi adalah keselamatan diri, mesin, peralatan dan rakan sekerja. Peraturan keselamatan dan undang-undang keselamatan bengkel wajib diketahui, dipelajari, dan dipatuhi kerana menjaga keselamatan menjadi tanggungjawab setiap pelajar. Polisi keselamtan ialah satu Peraturan, prosedur dan garis panduan berkaitan KKP secara umum dan boleh digunakan bila-bila masa. Adalah menjadi kewajipan tiap-tiap majikan dan tiap-tiap orang yang bekerja sendiri untuk memastikan setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerjanya. Kegagalan mematuhi peruntukan ini boleh menyebabkan majikan didenda RM 50,000 atau 2 tahun penjara atau kedua-duanya. Seterusnya di bawah seksyen 15(2) memperuntukkan bahawa majikan hendaklah setakat yang praktik melindungi keselamatan, kesihatan dan kebajikan orang-orang yang bekerja untuk mereka termasuklah mengadakan dan menyelenggara loji dan sistem kerja yang selamat dan tanpa risiko kepada kesihatan, membuat perkiraan tentang langkah-langkah yang perlu diambil dalam penyimpanan, pengendalian, penyimpanan dan pengangkutan loji dan bahan, menyediakan maklumat, arahan, latihan dan pengawasan ke atas aktiviti-aktiviti berbahaya, menyelenggara tempat kerja serta menyediakan keluar dan masuk yang selamat, dan menyediakan persekitaraan tempat kerja yang bebas daripada bahaya-bahaya yang tidak diingini seperti bising, habuk dan sebagainya. Kewajipan lain majikan dan orang yang bekerja sendiri adalah menyediakan Polisi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, memastikan orang lain selain daripada pekerjanya tidak tertedah kepada bahaya yang dihasilkan daripada aktiviti yang dijalankan oleh beliau serta memberitahu orang lain tentang aktiviti yang dijalankannya, dan memberi maklumat kepada orang lain berkenaan dengan aspek cara pengusahaannya yang boleh menyentuh keselamatan dan kesihatan orang lain. Daripada tinjauan yang telah dibuat, ternyata belum ada kajian yang khusus mengenai amalan keselamatan di tempat yang akan dikaji. Kajian yang akan dibuat menjurus kepada persoalan sejauh manakah polisi Keselamatan di Bengkel Kayu Jabatan Kejuruteraan Awam Politeknik Kota Bharu diamalkan dan dipatuhi sepenuhnya dan mengenal pasti sejauh manakah pelajar-pelajar mematuhi amalan keselamatan di bengkel kayu semasa menjalankan kerja-kerja.

 

 

 

 

OBJEKTIF KAJIAN

1. Mengenal pasti sejauh manakah polisi Keselamatan di Bengkel Kayu Jabatan Kejuruteraan Awam

    Politeknik Kota Bharu diamalkan dan dipatuhi sepenuhnya.

2. Mengenal pasti sejauh manakah pelajar-pelajar mematuhi amalan keselamatan di bengkel kayu semasa

    menjalankan kerja-kerja amali.

 

KEPENTINGAN KAJIAN

Kajian ini dilakukan adalah bertujuan meninjau sejauhmana polisi keselamatan dipratikan dan amalan keselamatan bengkel dalam kalangan pelajar semasa menjalankan kerja-kerja amali di bengkel kayu. Dalam kajian ini, tinjauan dibuat dari segi kepatuhan pensyarah dalam amalan keselamatan semasa sesi amali dijalankan dan kepatuhan pelajar dalam mengamalkan keselamatan am semasa menjalankan kerja-kerja amali di bengkel Kayu di Jabatan Kejuruteraan Awam PKB.

 

SKOP KAJIAN

Dalam kajian ini, kajian ini hanya tertumpu kepada pelajar semester satu dan semester dua yang mengambil modul CC102 dan C2003 dan terlibat dengan bengkel Kayu di Jabatan Kejuruteraan Awam PKB. Jumlah semua pelajar yang terlibat ialah 150 orang. Masa yang diambil bagi melengkapkan data adalah enam bulan. Kajian ini menggunakan kaedah borang kaji selidik dan tertumpu di bengkel kayu sahaja.

 

METODOLOGI KAJIAN

Kajian ini dijalankan menggunakan kaedah tinjauan terhadap 150 orang pelajar yang terlibat dengan amali bengkel kayu bagi subjek modul CC102 dan C2003. Kaedah soal selidik akan dijalankan untuk mendapatkan maklumbalas mengenai sejauh mana pengetahuan amalan polisi keselamatan bengkel dan kepatuhan terhadap keselamatan tersebut yag dilihat dari segi pengurusan bengkel dan keselamatan bengkel. Soal selidik ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian A yang digunakan untuk mengisi maklumat peribadi responden. Bahagian B pula terdiri dari 21 soalan yang berbentuk skala likert 5 mata yang digunakan untuk mengkaji aspek-aspek yang berkaitan dengan kajian. Selain itu, Kajian rintis telah dijalankan bagi menentukan kebolehpercayaan soalan. Menurut Mohamad Majid Konting (1990), kebolehpercayaan memberi  darjah kekekalan dan ketepatan instrumen pengukuran. Kajian rintis adalah bertujuan untuk mengenalpasti masalah yang berhubung dengan pemahaman dan interpretasi terhadap item-item yang terdapat dalam soal selidik, mendapat maklum balas untuk memperbaiki item-item dan soalan yang terdapat dalam soal selidik dan mengetahui jangka masa yang diperlukan untuk menjawab item-item yang terdapat dalam soal selidik. Data dan maklumat yang diperolehi akan dianalisis untuk menentukan hasil kajian. Data akan dianalisis dengan menggunakan kaedah SPSS, versi 13.0. Data yang diperoleh akan dianalisasi menggunakan nilai purata indeks.

No comments:

Post a Comment