Wednesday 3 August 2016

Kajian Amalan Keselamatan Bengkel Di Kalangan Pelajar Semasa Menjalankan Amali Di Bengkel Paip Politeknik Kota Bharu



Kajian Amalan Keselamatan Bengkel Di Kalangan Pelajar Semasa Menjalankan Amali Di Bengkel Paip Politeknik Kota Bharu



Fadhlan Bin Abdul Hadi#1, Wan Yuswadi Bin Wan Yaacob#2

Jabatan Kejuruteraan Awam Politeknik  Kota Bharu, Kelantan, MALAYSIA
                                                                              1fadhlan@pkb.edu.my
                                                                           2wan yuswadi@pkb.edu.my


Kata kunci — amalan keselamatan bengkel

I.     Pengenalan

Keselamatan merupakan suatu aspek yang amat penting dalam kehidupan seharian.  Dalam melahirkan pekerja yang mempunyai amalan kerja yang sihat serta selamat, pendidikan yang sewajarnya perlu diberikan kepada pelajar supaya ilmu yang dipelajari akan dapat diserap dan menjadi amalan mereka pada setiap masa pada masa akan datang.  Oleh sebab itulah, amalan keselamatan di bengkel amat wajar dan perlu untuk dikaji di tempat yang melahirkan tenaga kerja kepada industri. Dengan ini kita akan dapat melihat kesinambungan pelajaran yang diterapkan dengan keadaan di industri.  Justeru itu kajian ini akan memfokuskan kepada pengamalan serta pengetahuan amalan keselamatan ketika berada di bengkel.  Ianya termasuklah aspek peraturan, persekitaran, sikap, pengetahuan serta kemahiran.
Di dalam RMK6, matlamat pembangunan sumber tenaga Malaysia adalah merupakan teras utama di dalam pembangunan Negara, kerana pencapaian matlamat sosio-ekonomi bergantung kepada terdapatnya tenaga kerja yang berpendidikan, mahir dan boleh dilatih (Kerajaan Malaysia, 1991, m.s 195). Sehubungan dengan itu, untuk melatih dan membentuk tenaga kerja yang diperlukan ke arah negara perindustrian, maka pelajar kita perlu dilatih supaya mempunyai sikap kerja yang betul dan nilai – nilai positif seperti berdisiplin, tekun dan dedikasi.  Industri yang berteknologi adalah memerlukan tenaga kerja yang berdisiplin yang dilengkapi dengan asas kemahiran yang lebih luas serta mempunyai budaya dan etika kerja yang positif.  Dalam usaha ini, pihak Kementerian Sumber Manusia berhasrat menjadikan Malaysia sebuah negara yang selamat untuk bekerja. Menurut statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), kadar keseluruhan kemalangan di tempat kerja telah menurun sebanyak 37 peratus daripada 95,006 kemalangan pada tahun 2000 kepada 59,897 kemalangan pada 2011 berikutan peningkatan kesedaran mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan penguatkuasaan peraturan dan undang-undang sejak 10 tahun lepas.
Sehingga ini, negara kita masih lagi mencatatkan statistik kemalangan di tempat kerja yang tinggi dan membimbangkan.  Umpamanya, pelajar menghadapi pelbagai risiko kemalangan ketika melakukan kerja amali di bengkel.  Kemalangan mungkin berlaku semasa aktiviti penyediaan bahan–bahan mentah seperti logam, besi dan keluli, ketika mengendalikan pelbagai jenis mesin yang besar dan canggih, penggunaan alat–alat memotong dan alatan tangan yang tajam.  Kemalangan dan kecederaan tidak dapat dielakkan sepenuhnya tetapi dapat dikurangkan dan dicegah sekiranya semua pihak yang terlibat dalam pengurusan bengkel berkerjasama dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab supaya peraturan keselamatan bengkel dapat diamalkan dan dihayati oleh semua pelajar.
Pada tahun 1969, Malaysia telah memperkenalkan satu akta keselamatan iaitu PERKESO atau Pertubuhan Keselamatan Sosial bagi tujuan untuk melaksanakan, mentadbir, dan mengkuatkuasakan akta keselamatan sosial pekerja dan peraturan mengenainya.  Di Amerika Syarikat pula pada tahun 1970, satu rang undang–undang dan akta mengenai keselamatan diwujudkan yang dikenali sebagai “Occupational Safety and Health” atau secara ringkasnya OSHA.  Ia diperkenalkan bertujuan untuk menjamin keselamatan dan kesihatan pekerja di bengkel dalam bidang industri.
Objektif kajian adalah untuk mengenalpasti kepatuhan pelajar terhadap amalan peraturan keselamatan bengkel semasa menjalankan amali di bengkel paip Jabatan Kejuruteraan Awam Politeknik Kota Bharu. Kajian ini melibatkan pelajar semester satu kejuruteraan awam yang melakukan amali di bengkel paip Politeknik Kota Bahru. 
Dapatan kajian ini diharap  dapat memberi input dan maklumat yang berguna kepada pelajar darisegi meningkatkan budaya kerja yang lebih baik, serta menerapkan kesedaran tentang betapa pentingnya amalan keselamatan semasa melakukan kerja amali di dalam bengkel.          Selain daripada itu memberikan sumbangan kepada tenaga pengajar yang terlibat sebagai garis panduan dalam mempertingkatkan lagi peraturan-peraturan dan amalan keselamatan sedia ada dan seterusnya membimbing pelajar mengamalkan budaya kerja yang selamat.

II.     Kajian Literatur

Pengetahuan tentang aspek-aspek keselamatan ketika  berada serta bekerja dibengkel adalah satu perkara yang  amat  penting.  Kekurangan  pengetahuan  ini  boleh  menyebabkan  pelbagai  masalah  berlaku terutamanya kemalangan.  Menurut Longley (1969) pekerja yang kurang latihan terhadap bidang tugasnya lebih  cenderung  melakukan  kesilapan  dan  lebih  terdedah  terhadap kemalangan.  Daripada  hasil  kajian yang  dijalankan  didapati  bahawa  pengetahuan  pelajar  terhadap aspek-aspek  keselamatan  berada  pada tahap yang tinggi.
                                                Pengetahuan  keselamatan  bengkel  adalah  meliputi  perkara-perkara  seperti  peraturan, persekitaran, sikap pelajar, kemahiran  menggunakan  alat  tangan  dan  juga  kemahiran  menggunakan  mesin.  Dapatan  kajian menunjukkan pengetahuan pelajar terhadap aspek peraturan adalah tinggi. Dengan penguasaan peraturan yang  tinggi  secara  tidak  langsung  akan  dapat  mengurangkan risiko-risiko  kemalangan.  Willie  Hammer dan  Dennis  Price  (2001)  menyatakan  bahawa  para  pekerja  yang  mengalami  kemalangan  serta  kematian semasa  bekerja  adalah  kerana  kegagalan  untuk  menguatkuasakan  undang-undang. 
Oleh  yang  demikian adalah  amat  perlu pelajar-pelajar  menguasai  setiap  aspek  peraturan  supaya  dapat  meminimakan  risiko berlaku kemalangan.  Aspek  persekitaran merupakan suatu perkara yang penting dalam memastikan keselamatan diri dan harta benda ketika berkerja di bengkel. Oleh sebab itu pengetahuan tentang aspek ini perlu dikuasai oleh para pelajar. 
Antara punca-punca yang menyumbangkan kemalangan adalah Hazard. Hazard adalah apa sahaja secara sendirian atau saling bertindak antara satu dengan lain mampu mengakibatkan kemudaratan. Kemudaratan ini berbeza-beza ketenatannya, daripada yang mengakibatkan kematian sehinggalah kepada kecederaan kecil.  “Occupational Safety and Health Assessment Series 18002” (OHSAS 18002) dan ISO/IEC Guide 51:1999 mentakrifkan hazard sebagai punca atau keadaan yang mempunyai potensi mengakibatkan kemudaratan dalam konteks kecederaan dan penyakit kepada manusia, kerosakan harta benda, kerosakan sekitaran tempat kerja, atau gabungannya, bahan kimia, sinaran, elektrik, biohazard, sistem kerja tidak selamat adalah beberapa contoh-contoh hazard. Oleh kerana terlalu banyak hazard yang ada, di sini kita boleh kelaskan hazard kepada beberapa kelas iaitu hazard fizikal, hazard kimia, hazard biological dan hazard ergonomic.
Menurut OHSAS 18002, risiko adalah gabungan kemungkinan (kebarangkalian) dan akibat sesuatu peristiwa berhazard berlaku.  Risiko juga boleh ditakrifkan sebagai gabungan faktor-faktor kebarangkalian berlakunya peristiwa malang, dedahan dan impak kemalangan tersebut.  Kebarangkalian di sini bermaksud kemungkinan kemalangan itu berlaku.
Kesimpulanya keselamatan bengkel adalah salah satu aspek yang perlu menjadi fokus utama di dalam melakukan kerja-kerja amali ketika berada di dalam bengkel.  Ianya hendaklah di titikberatkan bukan sahaja ketika melakukan kerja-kerja amali malahan pada bila-bila masa sahaja ketika pelajar berada didalam bengkel.  Keselamatan boleh dianggap sebagai suatu kebiasaan atau sebagai satu bentuk sikap yang positif. Ianya tidak akan lahir dengan sendiri kecuali manusia itu sendiri yang membentuknya sama ada hendak menganggapnya sebagai keutamaan ataupun tidak. Menurut Mohd Anuar Bin Abdul Rahman & Mohamad Zulhilmi Bin Abdul Wahab (2010), peraturan keselamatan di bengkel atau tempat kerja perlu diamalkan dari semasa ke semasa. Untuk mengelakkan kemalangan dan kecelakaan, seseorang harus sedar dan bertanggungjawab.

III.     Metodologi Kajian

Kajian ini adalah berbentuk kajian kuantitatif yang bertujuan untuk meninjau sejauh mana tahap kepatuhan pelajar terhadap amalan peraturan keselamatan.  Data yang diperolehi adalah berbentuk kuantitatif kerana data dianalisa menggunakan kekerapan dan peratusan serta skor min. Kajian tinjauan dijalankan ke atas sampel dalam sesuatu populasi. Sampel yang dipilih mestilah mempunyai ciri-ciri atau sifat-sifat populasi yang ingin dikaji supaya maklumat yang diperoleh melalui kajian berkenaan boleh memberi kenyataan dan gambaran umum tentang keseluruhan populasi yang dikaji.
Di dalam kajian ini, kaedah persampelan rawak kelompok atas kelompok telah digunakan untuk memilih sampel kajian. Sampel kelompok atas kelompok bermaksud terdapat beberapa peringkat pemilihan sampel secara pengkelasan sehingga memenuhi kehendak penyelidik (Mohd Najib, 1999). Kaedah sampel kelompok atas kelompok dipilih kerana mudah untuk penyelidik mengumpul data kerana bilangan respondan tidak telalu ramai iaitu memadai 30 peratus daripada jumlah populasi atau sampel sebenar (Mohd Najib, 1999).
Oleh yang demikian, berdasarkan kepada jumlah keseluruhan pelajar semester satu sesi disember adalah seramai 90 orang maka melalui konsep persampelan kelompok atas kelompok tersebut seramai 30 responden telah memadai. Adalah sukar bagi penyelidik untuk mengambil semua responden sebagai sampel dalam populasi yang besar dan kajian ini hanya merupakan kajian tinjauan. Namun begitu, sekiranya penyelidikan dibuat merupakan kajian kes, semua populasi harus diambil sebagai sampel (Mohd Majid, 1999).
Kajian ini mengandaikan semua responden benar-benar faham dengan tujuan kajian ini dan dapat menjawab soalan soal selidik dengan jujur dan ikhlas. Jawapan yang diberikan melalui borang soal selidik diandaikan sebagai tidak dipengaruhi oleh sebarang unsur atau pihak lain yang berkepentingan termasuk penyelidik sendiri.  Bilangan sampel yang dipilih sebagai responden kajian diharap dapat mewakili populasi kajian secara keseluruhannya. 
Kajian ini menggunakan borang soal selidik sebagai instrumen kajian. Borang soal selidik ini mengandungi 2 bahagian iaitu bahagian I berkaitan dengan profil  responden dan bahagian II melibatkan objektif kajian iaitu kepatuhan pelajar terhadap amalan peraturan keselamatan bengkel.
Bahagian I mengandungi 4 soalan berkaitan dengan profil responden iaitu jantina, bangsa, pendidikan menengah dan kursus pengajian. Manakala bahagian II terdiri daripada 3 aspek iaitu aspek persekitaran dalam bengkel, peraturan keselamatan di kalangan pelajar semasa berada dalam bengkel dan  kemahiran menggunakan mesin dan alatan tangan.  Responden diminta memberi maklumbalas berkenaan persepsi terhadap soal selidik dengan menggunakan skala 1 (amat tidak setuju) hingga 5 (amat setuju).
Data yang dikumpulkan daripada kajian rintis ini dianalisis dengan menggunakan kaedah purata indeks sebagai instrumen kajian bagi mengukur kebolehpercayaan item dalam soal selidik. Analisis data bagi setiap soalan daripada soal selidik yang dibalas oleh pihak responden akan dilakukan dalam bahagian berikut dan keputusannya akan ditunjukkan melalui gambarajah graf bar, jadual dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment