Monday, 4 August 2014

KAJIAN AMALAN KESELAMATAN BENGKEL DI KALANGAN PELAJAR SEMASA MENJALANKAN AMALI DI BENGKEL PAIP POLITEKNIK KOTA BHARU



Abstrak
Keselamatan adalah melindungi pekerja daripada kemalangan, kecederaan dan ancaman yang berkaitan dengan keadaan tempat kerja, amalan pekerjaan dan juga persekitaran tempat kerja. Kajian amalan keselamatan bengkel di kalangan pelajar ini dilaksanakan adalah untuk menilai sejauh mana tahap kepatuhan pelajar terhadap amalan peraturan keselamatan semasa menjalankan amali. Sample kajian ini dipilih secara rawak melibatkan seramai 30 orang pelajar semester satu sesi disember 2012 di Jabatan Kejuruteraan Awam Politeknik Kota Bharu. Data dikumpul menggunakan instrumen soal selidik dan dianalisis menggunakan peratusan dan skor min. Dengan adanya kajian ini, peraturan dan amalan para pelajar dapat diketahui maklumatnya dan dapat dikenalpasti serta dilakukan penambahbaikan. Hasil kajian dan penulisan ini diharapkan dapat memberi pendedahan yang baik kepada para pelajar tentang pentingnya mematuhi peraturan di dalam bengkel dan mengetahui cara-cara penggunaan mesin dengan selamat. Di samping itu juga ia  memberi sumbangan kepada tenaga pengajar yang terlibat sebagai garis panduan dalam mempertingkatkan lagi peraturan-peraturan dan amalan keselamatan sedia ada dan seterusnya membimbing pelajar mengamalkan budaya kerja yang selamat.
1.0       PENGENALAN
Keselamatan merupakan suatu aspek yang amat penting dalam kehidupan seharian.  Dalam melahirkan pekerja yang mempunyai amalan kerja yang sihat serta selamat, pendidikan yang sewajarnya perlu diberikan kepada pelajar supaya ilmu yang dipelajari akan dapat diserap dan menjadi amalan mereka pada setiap masa pada masa akan datang.  Oleh sebab itulah, amalan keselamatan di bengkel amat wajar dan perlu untuk dikaji di tempat yang melahirkan tenaga kerja kepada industri. Dengan ini kita akan dapat melihat kesinambungan pelajaran yang diterapkan dengan keadaan di industri.  Justeru itu kajian ini akan memfokuskan kepada pengamalan serta pengetahuan amalan keselamatan ketika berada di bengkel.  Ianya termasuklah aspek peraturan, persekitaran, sikap, pengetahuan serta kemahiran.
Di dalam RMK6, matlamat pembangunan sumber tenaga Malaysia adalah merupakan teras utama di dalam pembangunan Negara, kerana pencapaian matlamat sosio-ekonomi bergantung kepada terdapatnya tenaga kerja yang berpendidikan, mahir dan boleh dilatih (Kerajaan Malaysia, 1991, m.s 195). Sehubungan dengan itu, untuk melatih dan membentuk tenaga kerja yang diperlukan ke arah negara perindustrian, maka pelajar kita perlu dilatih supaya mempunyai sikap kerja yang betul dan nilai – nilai positif seperti berdisiplin, tekun dan dedikasi.  Industri yang berteknologi adalah memerlukan tenaga kerja yang berdisiplin yang dilengkapi dengan asas kemahiran yang lebih luas serta mempunyai budaya dan etika kerja yang positif.  Dalam usaha ini, pihak Kementerian Sumber Manusia berhasrat menjadikan Malaysia sebuah negara yang selamat untuk bekerja. Sasaran Kerajaan  adalah untuk menurunkan kadar kes kemalangan industri kepada 3.5 peratus kes menjelang 2015 nanti.  Kadar tersebut adalah menyamai kadar kes kemalangan bagi negara maju seperti Jepun dan Amerika Syarikat.
Sehingga ini, negara kita telah mencatatkan statistik kemalangan yang dilaporkan disekitar 5.6 peratus (Abdul Rahman Bakar, 16 April 2007).  Umpamanya, pelajar menghadapi pelbagai risiko kemalangan ketika melakukan kerja amali di bengkel.  Kemalangan mungkin berlaku semasa aktiviti penyediaan bahan–bahan mentah seperti logam, keluli ketika mengendalikan pelbagai jenis mesin yang besar dan canggih, penggunaan alat–alat memotong dan alatan tangan yang tajam.  Kemalangan dan kecederaan tidak dapat dielakkan sepenuhnya tetapi dapat dikurangkan dan dicegah sekiranya semua pihak yang terlibat dalam pengurusan bengkel berkerjasama dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab supaya peraturan keselamatan bengkel dapat diamalkan dan dihayati oleh semua pelajar.

Pada tahun 1969, Malaysia telah memperkenalkan satu akta keselamatan iaitu PERKESO atau Pertubuhan Keselamatan Sosial bagi tujuan untuk melaksanakan, mentadbir, dan mengkuatkuasakan akta keselamatan sosial pekerja dan peraturan mengenainya.  Di Amerika Syarikat pula pada tahun 1970, satu rang undang–undang dan akta mengenai keselamatan diwujudkan yang dikenali sebagai “Occupational Safety and Health” atau secara ringkasnya OSHA.  Ia diperkenalkan bertujuan untuk menjamin keselamatan dan kesihatan pekerja di bengkel dalam bidang industri.

Objektif kajian adalah untuk mengenalpasti kepatuhan pelajar terhadap amalan peraturan keselamatan bengkel semasa menjalankan amali di bengkel paip Jabatan Kejuruteraan Awam Politeknik Kota Bharu. Kajian ini melibatkan pelajar semester satu kejuruteraan awam yang melakukan amali di bengkel paip Politeknik Kota Bahru. 

Dapatan kajian ini diharap  dapat memberi input dan maklumat yang berguna kepada pelajar darisegi meningkatkan budaya kerja yang lebih baik, serta menerapkan kesedaran tentang betapa pentingnya amalan keselamatan semasa melakukan kerja amali di dalam bengkel.           Selain daripada itu memberikan sumbangan kepada tenaga pengajar yang terlibat sebagai garis panduan dalam mempertingkatkan lagi peraturan-peraturan dan amalan keselamatan sedia ada dan seterusnya membimbing pelajar mengamalkan budaya kerja yang selamat.

2.0       KAJIAN LITERATUR

Pengetahuan tentang aspek-aspek keselamatan ketika  berada serta bekerja dibengkel adalah satu perkara yang  amat  penting.  Kekurangan  pengetahuan  ini  boleh  menyebabkan  pelbagai  masalah  berlaku terutamanya kemalangan.  Menurut Longley (1969) pekerja yang kurang latihan terhadap bidang tugasnya lebih  cenderung  melakukan  kesilapan  dan  lebih  terdedah  terhadap kemalangan.  Daripada  hasil  kajian yang  dijalankan  didapati  bahawa  pengetahuan  pelajar  terhadap aspek-aspek  keselamatan  berada  pada tahap yang tinggi.
            Pengetahuan  keselamatan  bengkel  adalah  meliputi  perkara-perkara  seperti  peraturan, persekitaran, sikap pelajar, kemahiran  menggunakan  alat  tangan  dan  juga  kemahiran  menggunakan  mesin.  Dapatan  kajian menunjukkan pengetahuan pelajar terhadap aspek peraturan adalah tinggi. Dengan penguasaan peraturan yang  tinggi  secara  tidak  langsung  akan  dapat  mengurangkan risiko-risiko  kemalangan.  Willie  Hammer dan  Dennis  Price  (2001)  menyatakan  bahawa  para  pekerja  yang  mengalami  kemalangan  serta  kematian semasa  bekerja  adalah  kerana  kegagalan  untuk  menguatkuasakan  undang-undang. 
Oleh  yang  demikian adalah  amat  perlu pelajar-pelajar  menguasai  setiap  aspek  peraturan  supaya  dapat  meminimakan  risiko berlaku kemalangan.  Aspek  persekitaran merupakan suatu perkara yang penting dalam memastikan keselamatan diri dan harta benda ketika berkerja di bengkel. Oleh sebab itu pengetahuan tentang aspek ini perlu dikuasai oleh para pelajar. 
Antara punca-punca yang menyumbangkan kemalangan adalah Hazard. Hazard adalah apa sahaja secara sendirian atau saling bertindak antara satu dengan lain mampu mengakibatkan kemudaratan. Kemudaratan ini berbeza-beza ketenatannya, daripada yang mengakibatkan kematian sehinggalah kepada kecederaan kecil.  “Occupational Safety and Health Assessment Series 18002” (OHSAS 18002) dan ISO/IEC Guide 51:1999 mentakrifkan hazard sebagai punca atau keadaan yang mempunyai potensi mengakibatkan kemudaratan dalam konteks kecederaan dan penyakit kepada manusia, kerosakan harta benda, kerosakan sekitaran tempat kerja, atau gabungannya, bahan kimia, sinaran, elektrik, biohazard, sistem kerja tidak selamat adalah beberapa contoh-contoh hazard. Oleh kerana terlalu banyak hazard yang ada, di sini kita boleh kelaskan hazard kepada beberapa kelas iaitu hazard fizikal, hazard kimia, hazard biological dan hazard ergonomic.
Menurut OHSAS 18002, risiko adalah gabungan kemungkinan (kebarangkalian) dan akibat sesuatu peristiwa berhazard berlaku.  Risiko juga boleh ditakrifkan sebagai gabungan faktor-faktor kebarangkalian berlakunya peristiwa malang, dedahan dan impak kemalangan tersebut.  Kebarangkalian di sini bermaksud kemungkinan kemalangan itu berlaku.
Kesimpulanya keselamatan bengkel adalah salah satu aspek yang perlu menjadi fokus utama di dalam melakukan kerja-kerja amali ketika berada di dalam bengkel.  Ianya hendaklah di titikberatkan bukan sahaja ketika melakukan kerja-kerja amali malahan pada bila-bila masa sahaja ketika pelajar berada didalam bengkel.  Keselamatan boleh dianggap sebagai suatu kebiasaan atau sebagai satu bentuk sikap yang positif. Ianya tidak akan lahir dengan sendiri kecuali manusia itu sendiri yang membentuknya sama ada hendak menganggapnya sebagai keutamaan ataupun tidak. Menurut Abu Bakar (1994) dalam Nor Fariza (2002), peraturan keselamatan di bengkel atau tempat kerja perlu diamalkan dari semasa ke semasa. Untuk mengelakkan kemalangan dan kecelakaan, seseorang harus sedar dan bertanggungjawab.

No comments:

Post a Comment