Kajian Amalan
Keselamatan Bengkel Di Kalangan Pelajar Semasa Menjalankan Amali Di Bengkel
Paip Politeknik Kota Bharu
|
Fadhlan
Bin Abdul Hadi#1, Wan Yuswadi Bin
Wan Yaacob#2
Jabatan
Kejuruteraan Awam Politeknik Kota
Bharu, Kelantan, MALAYSIA
1fadhlan@pkb.edu.my
2wan yuswadi@pkb.edu.my
|
Kata kunci — amalan keselamatan bengkel
I. Pengenalan
Keselamatan merupakan suatu aspek yang amat penting dalam kehidupan
seharian. Dalam melahirkan pekerja yang
mempunyai amalan kerja yang sihat serta selamat, pendidikan yang sewajarnya
perlu diberikan kepada pelajar supaya ilmu yang dipelajari akan dapat diserap
dan menjadi amalan mereka pada setiap masa pada masa akan datang. Oleh sebab itulah, amalan keselamatan di
bengkel amat wajar dan perlu untuk dikaji di tempat yang melahirkan tenaga
kerja kepada industri. Dengan ini kita akan dapat melihat kesinambungan
pelajaran yang diterapkan dengan keadaan di industri. Justeru itu kajian ini akan memfokuskan
kepada pengamalan serta pengetahuan amalan keselamatan ketika berada di
bengkel. Ianya termasuklah aspek
peraturan, persekitaran, sikap, pengetahuan serta kemahiran.
Di dalam RMK6, matlamat pembangunan sumber tenaga
Malaysia adalah merupakan teras utama di dalam pembangunan Negara, kerana
pencapaian matlamat sosio-ekonomi bergantung kepada terdapatnya tenaga kerja
yang berpendidikan, mahir dan boleh dilatih (Kerajaan Malaysia, 1991, m.s 195).
Sehubungan dengan itu, untuk melatih dan membentuk tenaga kerja yang diperlukan
ke arah negara perindustrian, maka pelajar kita perlu dilatih supaya mempunyai
sikap kerja yang betul dan nilai – nilai positif seperti berdisiplin, tekun dan
dedikasi. Industri yang berteknologi
adalah memerlukan tenaga kerja yang berdisiplin yang dilengkapi dengan asas
kemahiran yang lebih luas serta mempunyai budaya dan etika kerja yang positif. Dalam usaha ini, pihak Kementerian Sumber
Manusia berhasrat menjadikan Malaysia sebuah negara yang selamat untuk bekerja.
Menurut statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), kadar keseluruhan
kemalangan di tempat kerja telah menurun sebanyak 37 peratus daripada 95,006
kemalangan pada tahun 2000 kepada 59,897 kemalangan pada 2011 berikutan
peningkatan kesedaran mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan
penguatkuasaan peraturan dan undang-undang sejak 10 tahun lepas.
Sehingga ini, negara kita masih lagi mencatatkan
statistik kemalangan di tempat kerja yang tinggi dan membimbangkan. Umpamanya, pelajar menghadapi pelbagai risiko
kemalangan ketika melakukan kerja amali di bengkel. Kemalangan mungkin berlaku semasa aktiviti
penyediaan bahan–bahan mentah seperti logam, besi dan keluli, ketika
mengendalikan pelbagai jenis mesin yang besar dan canggih, penggunaan alat–alat
memotong dan alatan tangan yang tajam.
Kemalangan dan kecederaan tidak dapat dielakkan sepenuhnya tetapi dapat
dikurangkan dan dicegah sekiranya semua pihak yang terlibat dalam pengurusan
bengkel berkerjasama dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab supaya
peraturan keselamatan bengkel dapat diamalkan dan dihayati oleh semua pelajar.
Pada tahun 1969, Malaysia telah memperkenalkan satu akta
keselamatan iaitu PERKESO atau Pertubuhan Keselamatan Sosial bagi tujuan untuk
melaksanakan, mentadbir, dan mengkuatkuasakan akta keselamatan sosial pekerja
dan peraturan mengenainya. Di Amerika
Syarikat pula pada tahun 1970, satu rang undang–undang dan akta mengenai
keselamatan diwujudkan yang dikenali sebagai “Occupational Safety and Health”
atau secara ringkasnya OSHA. Ia
diperkenalkan bertujuan untuk menjamin keselamatan dan kesihatan pekerja di
bengkel dalam bidang industri.
Objektif kajian adalah untuk mengenalpasti kepatuhan
pelajar terhadap amalan peraturan keselamatan bengkel semasa menjalankan amali
di bengkel paip Jabatan Kejuruteraan Awam Politeknik Kota Bharu. Kajian ini
melibatkan pelajar semester satu kejuruteraan awam yang melakukan amali di
bengkel paip Politeknik Kota Bahru.
Dapatan kajian ini
diharap dapat memberi input dan maklumat
yang berguna kepada pelajar darisegi
meningkatkan budaya kerja yang lebih baik, serta menerapkan kesedaran tentang
betapa pentingnya amalan keselamatan semasa melakukan kerja amali di dalam
bengkel. Selain daripada itu memberikan
sumbangan kepada tenaga pengajar yang terlibat sebagai garis panduan dalam
mempertingkatkan lagi peraturan-peraturan dan amalan keselamatan sedia ada dan
seterusnya membimbing pelajar mengamalkan budaya kerja yang selamat.
II. Kajian Literatur
Pengetahuan
tentang aspek-aspek keselamatan ketika
berada serta bekerja dibengkel adalah satu perkara yang amat
penting. Kekurangan pengetahuan
ini boleh menyebabkan
pelbagai masalah berlaku terutamanya kemalangan. Menurut Longley (1969) pekerja yang kurang
latihan terhadap bidang tugasnya lebih
cenderung melakukan kesilapan
dan lebih terdedah
terhadap kemalangan.
Daripada hasil kajian yang
dijalankan didapati bahawa
pengetahuan pelajar terhadap aspek-aspek keselamatan
berada pada tahap yang tinggi.
Pengetahuan keselamatan
bengkel adalah meliputi
perkara-perkara seperti peraturan, persekitaran, sikap pelajar,
kemahiran menggunakan alat tangan
dan juga kemahiran
menggunakan mesin. Dapatan
kajian menunjukkan pengetahuan pelajar terhadap aspek peraturan adalah
tinggi. Dengan penguasaan peraturan yang
tinggi secara tidak
langsung akan dapat
mengurangkan risiko-risiko
kemalangan. Willie Hammer dan
Dennis Price (2001)
menyatakan bahawa para
pekerja yang mengalami
kemalangan serta kematian semasa bekerja
adalah kerana kegagalan
untuk menguatkuasakan undang-undang.
Oleh yang demikian adalah amat
perlu pelajar-pelajar
menguasai setiap aspek
peraturan supaya dapat
meminimakan risiko berlaku
kemalangan. Aspek persekitaran merupakan suatu perkara yang
penting dalam memastikan keselamatan diri dan harta benda ketika berkerja di
bengkel. Oleh sebab itu pengetahuan tentang aspek ini perlu dikuasai oleh para
pelajar.
Antara punca-punca yang menyumbangkan kemalangan adalah
Hazard. Hazard adalah apa sahaja secara sendirian atau saling bertindak antara
satu dengan lain mampu mengakibatkan kemudaratan. Kemudaratan ini berbeza-beza
ketenatannya, daripada yang mengakibatkan kematian sehinggalah kepada
kecederaan kecil. “Occupational Safety
and Health Assessment Series 18002” (OHSAS 18002) dan ISO/IEC Guide 51:1999
mentakrifkan hazard sebagai punca atau keadaan yang mempunyai potensi
mengakibatkan kemudaratan dalam konteks kecederaan dan penyakit kepada manusia,
kerosakan harta benda, kerosakan sekitaran tempat kerja, atau gabungannya,
bahan kimia, sinaran, elektrik, biohazard, sistem kerja tidak selamat adalah
beberapa contoh-contoh hazard. Oleh kerana terlalu banyak hazard yang ada, di
sini kita boleh kelaskan hazard kepada beberapa kelas iaitu hazard fizikal,
hazard kimia, hazard biological dan hazard ergonomic.
Menurut OHSAS 18002, risiko adalah gabungan kemungkinan
(kebarangkalian) dan akibat sesuatu peristiwa berhazard berlaku. Risiko juga boleh ditakrifkan sebagai
gabungan faktor-faktor kebarangkalian berlakunya peristiwa malang, dedahan dan
impak kemalangan tersebut.
Kebarangkalian di sini bermaksud kemungkinan kemalangan itu berlaku.
Kesimpulanya keselamatan bengkel adalah salah satu aspek
yang perlu menjadi fokus utama di dalam melakukan kerja-kerja amali ketika
berada di dalam bengkel. Ianya hendaklah
di titikberatkan bukan sahaja ketika melakukan kerja-kerja amali malahan pada
bila-bila masa sahaja ketika pelajar berada didalam bengkel. Keselamatan boleh dianggap sebagai suatu
kebiasaan atau sebagai satu bentuk sikap yang positif. Ianya tidak akan lahir
dengan sendiri kecuali manusia itu sendiri yang membentuknya sama ada hendak
menganggapnya sebagai keutamaan ataupun tidak. Menurut Mohd Anuar Bin Abdul
Rahman & Mohamad Zulhilmi Bin Abdul Wahab (2010), peraturan keselamatan di
bengkel atau tempat kerja perlu diamalkan dari semasa ke semasa. Untuk mengelakkan
kemalangan dan kecelakaan, seseorang harus sedar dan bertanggungjawab.
III. Metodologi Kajian
Kajian ini adalah berbentuk kajian
kuantitatif yang bertujuan untuk meninjau sejauh mana tahap kepatuhan pelajar
terhadap amalan peraturan keselamatan.
Data yang diperolehi adalah berbentuk kuantitatif kerana data dianalisa
menggunakan kekerapan dan peratusan serta skor min. Kajian tinjauan dijalankan
ke atas sampel dalam sesuatu populasi. Sampel yang dipilih mestilah mempunyai
ciri-ciri atau sifat-sifat populasi yang ingin dikaji supaya maklumat yang
diperoleh melalui kajian berkenaan boleh memberi kenyataan dan gambaran umum
tentang keseluruhan populasi yang dikaji.
Di dalam
kajian ini, kaedah persampelan rawak kelompok atas kelompok telah digunakan
untuk memilih sampel kajian. Sampel kelompok atas kelompok bermaksud terdapat
beberapa peringkat pemilihan sampel secara pengkelasan sehingga memenuhi
kehendak penyelidik (Mohd Najib, 1999). Kaedah sampel kelompok atas kelompok
dipilih kerana mudah untuk penyelidik mengumpul data kerana bilangan respondan
tidak telalu ramai iaitu memadai 30 peratus daripada jumlah populasi atau
sampel sebenar (Mohd Najib, 1999).
Oleh yang
demikian, berdasarkan kepada jumlah keseluruhan pelajar semester satu sesi
disember adalah seramai 90 orang maka melalui konsep persampelan kelompok atas
kelompok tersebut seramai 30 responden telah memadai. Adalah sukar bagi
penyelidik untuk mengambil semua responden sebagai sampel dalam populasi yang
besar dan kajian ini hanya merupakan kajian tinjauan. Namun begitu, sekiranya
penyelidikan dibuat merupakan kajian kes, semua populasi harus diambil sebagai
sampel (Mohd Majid, 1999).
Kajian ini mengandaikan
semua responden benar-benar faham dengan tujuan kajian ini dan dapat menjawab
soalan soal selidik dengan jujur dan ikhlas. Jawapan yang diberikan melalui
borang soal selidik diandaikan sebagai tidak dipengaruhi oleh sebarang unsur
atau pihak lain yang berkepentingan termasuk penyelidik sendiri. Bilangan sampel yang dipilih sebagai
responden kajian diharap dapat mewakili populasi kajian secara
keseluruhannya.
Kajian ini menggunakan
borang soal selidik sebagai instrumen kajian. Borang soal selidik ini
mengandungi 2 bahagian iaitu bahagian I berkaitan dengan profil responden dan bahagian II melibatkan objektif
kajian iaitu kepatuhan pelajar terhadap amalan
peraturan keselamatan bengkel.
Bahagian I mengandungi 4
soalan berkaitan dengan profil responden iaitu jantina, bangsa, pendidikan
menengah dan kursus pengajian. Manakala bahagian II terdiri daripada 3 aspek
iaitu aspek persekitaran dalam bengkel, peraturan keselamatan di kalangan
pelajar semasa berada dalam bengkel dan
kemahiran menggunakan mesin dan alatan tangan. Responden diminta memberi maklumbalas
berkenaan persepsi terhadap soal selidik dengan menggunakan skala 1 (amat tidak
setuju) hingga 5 (amat setuju).
Data yang
dikumpulkan daripada kajian rintis ini dianalisis dengan menggunakan kaedah
purata indeks sebagai instrumen kajian bagi mengukur kebolehpercayaan item
dalam soal selidik. Analisis data bagi setiap soalan daripada soal selidik
yang dibalas oleh pihak responden akan dilakukan dalam bahagian berikut dan
keputusannya akan ditunjukkan melalui gambarajah graf bar, jadual dan
sebagainya.
No comments:
Post a Comment